BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

SELAMAT DATANG

Lokasi Online

what you waiting, just click.....

Jumaat, 24 Februari 2012

Sastera Kanak-Kanak

Fungsi Sastera Kanak-Kanak

Menurut Molina S.Nijhar, dalam buku Hadijah Rahmat kesusasteraan kanak-kanak merangkumi semua jenis penulisan kreatif dan imaginatif yang dikhususkan untuk bacaan, hiburan dan penilaian kanak-kanak. Secara amnya kesusasteraan kanak-kanak ini meliputi keseluruhan buku yang bermutu dan berfaedah yang ditulis untuk bacaan kanak-kanak yang merangkumi bidang fiksyen dan bukan fiksyen. Sastera kanak-kanak juga mempunyai fungsi dan peranan yang tersendiri. Oleh itu ada baiknya kita menelusuri fungsi dan peranan sastera kanak-kanak itu dengan jelas dan teliti.

            Fungsi sastera kanak-kanak yang biasa dan sama fungsinya dengan kebanyakkan genre sastera adalah berfungsi sebagai bahan hiburan. Hal ini kerana bahan yang dibaca oleh seorang kanak-kanak itu mampu menghiburkan hati mereka. Contohnya cerita jenaka. Selepas membaca atau mendengar cerita jenaka seorang kanak-kanak itu akan ketawa dan gembira kerana kelucuan yang wujud dalam cerita jenaka tersebut. Oleh itu fungsi sebagai alat hiburan menjadi fungsi tetap dan ada pada setiap genre sastera tidak terkecuali juga sastera kanak-kanak.

            Sastera kanak-kanak juga berfungsi sebagai alat pendidikan dan pengajaran. Hal ini kerana dalam setiap cerita sastera kanak-kanak terdapat unsur-unsur pendidikan dan pengajaran yang baik untuk perkembangan minda kanak-kanak. Menurut Eleanor Estes dalam buku Hadijah Rahmat, buku kanak-kanak yang baikk adalah buku yang dapat,

“Menyebabkan seseorang kanak-kanak ketawa atau menangis menjadikannya berasa beberapa emosi, menyebabkan ia berasa ingin keluar untuk membetulkan kejahatan dunia, untuk mencapai sesuatu yang mulia ; mencetuskan hubungan perasaan di jiwanya dengan pemikiran, tulisan dan tindakan mulia dan unggul ajli fikir ; menimbulkan perasaan kasihan terhadap golongan yang tidak bernasib baik dan yang berduka ; menimbulkan kesedaran bahawa apa yang ia fikirkan, tuturkan dan lakukan, turut menyumbangkan rasa persefahaman sesama manusia, dan bertegas bahawa orang ramai perlu bersifat baik dan murah hati.”

Hal ini jelas menunjukkan melalui sastera kanak-kanak juga mampu memberikan perkembangan pemikiran mereka. Selain itu melalui pembacaan ini juga kanak-kanak akan melihat pengajaran yang disampaikan oleh sesebuah cerita itu. Oleh itu dapat dilihat bahawa cerita kanak-kanak boleh membantu kanak-kanak dalam mengenal dunia yang bakal mereka hadapi kelak. Contohnya cerita bawang putih bawang merah. Walaupun terdapat sedikit unsur khayalan, namun mesej atau pemikiran yang disampaikan jelas iaitu perbuatan baik akan dibalas baik. Oleh itu sastera kanak-kanak sangat membantu pemikiran dan minda seorang kanak-kanak itu.

            Sastera kanak-kanak juga berfungsi sebagai pendorong atau motivasi. Hal ini berlaku kerana kanak-kanak dapat meneroka dan berusaha untuk berjaya. Selain itu fungsi sebagai pendorong dan motivasi yang berkesan dengan memperkenalkan dan mendedahkannya kepada pembaca jenis-jenis kejayaan atau sesuatu lingkungan pencapaian yang baik, berguna, sesuai dan luas. Melalui sastera kanak-kanak seseorang kanak-kanak itu mampu meningkatkan daya motivasi dan keyakinan dalam diri. Kanak-kanak akan berusaha untuk menjadi lebih baik atau sama dengan kejayaan yang terdapat dalam cerita kanak-kanak itu. Contohnya cerita binatang seperti sang kancil yang memperlihatkan kepandaian sang kancil. Melalui dorongan cerita ini kanak-kanak itu akan berusaha untuk menjadi sebijak sang kancil dan lebih bijak lagi daripada sang kancil yang ada dalam cerita itu. Hal ini jelas menunjukkan bahawa sastera kanak-kanak itu mampu menjadi pendorong dan motivasi dalam diri seseorang kanak-kanak.

            Sastera kanak-kanak juga menjadi alat sosialisasi. Alat sosialisasi merupakan satu wadah atau corong penyaluran nilai-nilai masyarakat kepada generasi muda. Hal ini dapat dilihat melalui mesej atau pengajaran yang cuba disampaikan oleh sesebuah cerita kanak-kanak itu. Contohnya cerita Upin dan Ipin yang memaparkan nilai masyarakat kampung yang penuh deengan nilai ketimuran dan keagamaan yang tinggi. Seperti episod puasa dalam animasi Upin dan Ipin. Dalam cerita itu menunjukkan kepentingan bulan puasa dan ibadat puasa dalam kalangan umat islam. Tidak kira daripada orang dewasa sehingga kanak-kanak. Melalui teladan dalam cerita ini kanak-kanak yang beragama islam akan mencontohi dan mengukuhkan sosialisasi dan kepercayaan terhadap agama islam itu sendiri.

            Kemudian sastera kanak-kanak juga berfungsi sebagai alat untuk proses pembentukan pemikiran, emosi, imaginasi dan keperibadian seseorang. Hal ini kerana melalui bacaan terhadap sastera kanak-kanak mampu membuatkan seseorang itu berfikir. Melalui teladan yang ada dalan cerita kanak-kanak juga membantu seseorang itu membentuk atau memperbaiki keperibadian mereka. Tidak kisah sama ada seorang kanak-kanak yang baru membentuk jati diri atau keperibadiannya mahupun orang dewasa yang ingin memperbaiki keperibadian serta emosi mereka, melalui sastera kanak-kanak.

            Sastera kanak-kanak juga menjadi salah satu bidang kerjaya. Hal ini dapat dilihat agak kurang penyelidik atau bidang kepakaran yang melibatkan sastera kanak-kanak. Sekiranya ditelusuri secara teliti tidak ramai yang terlibat dengan bidang sastera kanak-kanak ini. Secara tidak langsung sastera kanak-kanak juga boleh menjadi salah satu bidang kerjaya yang masih terbuka. Penghasilan buku kanak-kanak juga tidak banyak dihasilkan oleh penulis pada masa kini. Oleh itu sastera kanak-kanak boleh menjadi sumber pencarian dan kewangan seseorang itu.

            Sastera kanak-kanak juga salah satu medium kritikan sosial. Hal ini kerana melalui sastera kanak-kanak seseorang itu boleh mengkritik masalah sosial, atau kumpulan masyarakat yang tertentu. Keadaan ini selalunya disampaikan dalam cerita kanak-kanak untuk menyindir golongan tertentu dengan cara yang lembut, sopan dan tidak memalukan pihak yang dikritik. Oleh itu sastera kanak-kanak menjadi salah satu medan mengkritik golongan masyarakat tertentu.

            Melihat semua fungsi sastera kanak-kanak boleh membantu dalam segala aspek kehidupan mahupun diri seseorang itu. Kita juga jangan menyempitkan pemikiran dengan melihat sastera kanak-kanak hanya untuk kanak-kanak sahaja. Sastera kanak-kanak juga boleh dibaca oleh semua lapisan umur, disebabkan sifat sastera kanak-kanak yang umum dan tidak terikat dengan mana-mana unsur.

Sumber Rujukan
Hadijah Rahmat (2006). Peranan dan perkembangan sastera kanak-kanak. Dewan Bahasa dan
 Pustaka : Kuala Lumpur

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Gambar 3D

Jemaah Nazir Blog